Fasa penyembuhan dan kembali bertenaga selepas bersalin adalah tempoh semasa berpantang. Kerap kita dengari orang tua-tua akan memberi nasihat kepada ibu-ibu yang baru pertama kali menimang cahaya mata, bahawa tempoh berpantang merupakan satu tempoh yang penting buat ibu muda. Hal ini agar tidak memberi kesan di hari tua kelak.
Penjagaan diri selepas proses bersalin (berpantang) dapat mengembalikan semula kesihatan tubuh ibu setelah mengambil masa selama 9 bulan 10 hari atau maksimum selama 40 minggu mengandung. Apatah lagi proses mengandung dan proses bersalin memberi kesan terhadap perubahan fizikal tubuh ibu, perubahan hormon dan tahap kesihatan emosi dan mental.
Harus diingat, semasa bersalin, wanita akan kehilangan banyak darah, menggunakan sepenuh daya, kudrat dan tenaga bagi melahirkan seorang bayi. Seharusnya para ibu tidak memandang enteng akan perkara ini dan tidak mengabaikan soal penjagaan kesihatan diri selepas bersalin bagi memastikan luka-luka dalaman sembuh sebaiknya.
Setiap bangsa mempunyai amalan dan adat berpantang yang berbeza-beza.
Bagi masyarakat melayu, amalan berpantang sejak turun temurun lagi, sejak dari zaman datuk nenek kita lagi. Tempoh berpantang bagi masyarakat melayu lazimnya selama 40 hari atau 44 hari. Bagi masyarakat berbangsa cina biasanya tempoh berpantang adalah selama satu bulan iaitu mulai dari tarikh kelahiran bayi.
Bagi masyarakat berbangsa India pula ia antara 30 hingga 40 hari tempoh berpantang dan ada juga yang bergantung kepada daerah asal keluarga di India. Ini bermakna setiap bangsa memiliki amalan dan adat berpantang masing-masing untuk fasa penyembuhan selepas bersalin.
Berpantang ini dengarnya seperti sukar dan membosankan, tetapi tidaklah sesukar atau serumit yang disangkakan, malah ia satu proses penyembuhan yang menyeronokkan dan seelok-eloknya kita nikmati dan jalani ia sebagai satu pengalaman sihat yang menggembirakan bersama bayi dan pasangan.
Para ibu terutamanya ibu muda, seringkali menitikberatkan keperluan dan persediaan yang rapi buat si bayi tetapi tidak dirinya sendiri dan ia acap kali terlepas pandang tentang penjagaan dirinya sendiri semasa berpantang.
Biasanya apabila kandungan sudah berusia 5-7 bulan, persiapan untuk bayi akan dilakukan secara berperingkat-peringkat atau sekaligus.
Namun, jangan pula terlepas pandang buat diri ibu yang mengandung kerana persediaan untuk ibu lebih sihat dan bertenaga selepas melahirkan anak itu juga perlu dititikberatkan. Ia agar dapat menjamin kesihatan ibu disamping bayi mendapat cukup susu dan dijagai oleh si ibu dengan penuh bertenaga, ceria, tidak lesu, tiada tekanan dan tidak murung.
Persediaan lebih awal buat ibu untuk berpantang sebelum bersalin amat perlu. Hal ini bagi mengelakkan para ibu tidak kelam kabut apabila tiba masanya nanti.
Berikut adalah tips persediaan awal buat bakal bergelar ibu :
Lokasi berpantang
Tentukan lokasi dimana bakal ibu akan berpantang, perlu difikirkan sama ada berpantang sendiri di rumah atau di kampung halaman bersama mertua atau ibu kandung. Hal ini bagi memastikan dan menentukan bidan kampung yang bakal mengurut bakal ibu. Bidan sekarang memang sibuk jika tidak memberitahu dengan lebih awal dibimbangi lambat untuk mengurut badan yang lemah disamping membetulkan urat darah.
Aktiviti dan amalan berpantang
Ambil tahu, baca dan buat persiapan dari segi kelengkapan dan keperluan terhadap aktiviti dan amalan berpantang supaya lebih bersedia. Amalan yang biasa dibuat semasa tempoh berpantang seperti berurut, bertungku, berbengkung, berlulur, mandi herba dan bertangas.
Alatan, Pakaian, makanan dan Ubat-Ubatan (ALPAMU)
Senaraikan dan sediakan alatan, pakaian, makanan dan ubat-ubatan (ALPAMU) yang diperlukan semasa berpantang. ALPAMU adalah mengikut aktiviti berpantang yang lazimya dilakukan. Contohnya berurut, memerlukan tukang urut dan minyak urut. Adakalanya bidan akan menggunakan minyak urutnya sendiri.
Bertungku pula setiap pagi, ada yang menggunakan batu sungai atau besi. Bebenkung adalah setiap hari sepanjang tempoh berpantang, perlu pastikan bengkung yang sesuai dan saiz yang berpadanan.
Pakaian pula, pastikan ia yang mesra menyusu (friendly nursing) agar mudah menyusu anak. Pakaian dalam dan soft cotton pad biar yang bersesuaian semasa darah nifas masih belum kering. Selain itu, stokin dan pilis adalah pakaian dan ubatan yang sentiasa digunakan sepanjang tempoh berpantang dan perlulah mencukupi.
Memilih ubat-ubatan herba yang sesuai baik untuk dimakan mahupun untuk mandian tidak juga diabaikan. Ia memberi kecantikan dan tenaga kepada tubuh, baik di luar mahupun di dalam.
Bagi makanan atau juadah semasa tempoh berpantang pula biasanya sama sahaja setiap hari atau berulang, kerana tidak banyak yang boleh dimakan sepanjang tempoh tersebut.
Ambil Pakej atau sendiri
Ada sesetengah pasangan yang mampu, memilih pakej berpantang sebagai pilihan utama. Biasanya pakej-pakej berpantang ini banyak di bandar-bandar besar. Jika memilih pakej berpantang sebagai alternatif, kebiasaannya telah lengkap dan amalan-amalan sepanjang berpantang telah dirancang serta ada jadual yang harus diikuti oleh si ibu. Jika berpantang sendiri, lihat tips 1 hingga 3.