Baca sahaja tajuk topik ini, sudah terbayang di fikiran kita akan sepasang suami isteri yang sedang berbalah atau bertelagah sesama sendiri, sementara di tengah-tengah mereka pula ada anak- anak yang sedang elok duduk diam mendengar, melihat, memerhati dan menilai sendiri setiap gerak geri, tingkah laku, perkataan yang keluar terhadap apa yang dipertontonkan oleh kita yang kononnya ini dianggap sebagai ikon terbaik buat mereka.
Anak-anak masih cetek dalam membuat penilaian, maka apa yang berlaku di hadapan mata, itulah yang dihadam dan dijadikan sebagai role model.
Bagi mereka, jika tidak diperbetul mereka beranggapan itulah suri teladan yang boleh dicontohi kerana anak-anak masih belum mampu menilai dengan baik.
KESAN BERTENGKAR DI HADAPAN ANAK
Menurut Kajian dari Eamon McCrory dari University College of London, sikap yang ditonjolkan oleh ibubapa dihadapan anak-anak boleh mempengaruhi corak pemikiran yang sama apabila anak-anak itu membesar kelak.
Bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Jadi sampai bila?
Kita semua sedia maklum bahawa anak-anak adalah peniru lagak gaya yang hebat, mereka cepat belajar, dan menyerap segala input yang tervisual di depan mata mereka. Ingatan yang memberi trauma adalah amat menyerlah berbanding memori biasa. Penyerapan input diperingkat awal adalah proses merangka karakter asas mereka. Kalau tidak di filter, boleh berlaku kecelaruan emosi.
Menurut Meltzoff dan Marshall dari Institute for Learning and Brain Science University of Washington yang di petik dari Parent Connect telah mendapati bahawa apabila anak kecil memerhatikan perbuatan kita, otak mereka bertindak balas seolah-olah mereka turut melakukan aktiviti yang sama. Ini adalah tindakbalas yang berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Mirror neuron bertindak sebagai cerminan kepada apa yang diperhatikan.
Begitulah hebatnya otak.
Demikian, jangan biarkan mereka kebingungan dan terpinga-pinga terhadap perbalahan yang berlaku di hadapan mata mereka, kerana kesannya amat buruk sekali.
Don’t let them confuse!
Ia menyentuh soal ketahanan emosi, mental, hati dan perasaan si anak. Dunia mereka adalah dunia kasih sayang, jangan asbab kita bertengkar sedikit demi sedikit menyemai bibit-bibit tekanan dalam jiwa mereka. Antara kesan-kesannya seperti depresi, kemurungan, berkata-kata kesat dan berprasangka buruk.
Anak-anak berjiwa halus dan amat sensitif, walaupun bukan mereka yang berada didalam kancah pertengkaran tersebut. Namun secara tidak lansung, mereka juga sebenarnya tidak mampu memikul setiap bait-bait kata yang kurang sopan serta jerit pekik ibubapa yang bertelagah sesama sendiri.
Seolah-olah ibubapa pula yang menjadi lebih ‘keanak-anakkan’ atau lebih ‘kebudak-budakkan’ berbanding anak-anak mereka sendiri. Sebab itu, adakalanya kita dapat melihat ada situasi sehingga anak-anak menekup telinga mereka kuat-kuat, apabila berdepan dengan ibubapa yang bertengkar dihadapan mereka. Emosi mereka tertekan, jiwa mereka meronta, mental mereka menjadi lemau. Tiada siapa yang tahu.
Kesan-kesan ini bukan terus dapat dilihat serta merta, tetapi apabila mereka sudah dewasa kelak, apabila mereka sudah pandai bergaul di sekolah, apabila mereka terjun ke dalam komuniti bermasyarakat dan apabila mereka pula bakal mendirikan rumahtangga.
Matanglah, tunjukkan sikap yang terpuji, MUSYAWARAH lah.
Kenapa bertengkar?
Itulah soalan yang lazim yang akan ditanyakan kepada siapapun yang bertengkar. Pertengkaran berlaku apabila wujudnya konflik. Konflik wujud bila berlaku perbezaan pandangan, pendapat, idea, kehendak, keinginan dan keperluan. Berlaku ketidakpuasan hati yang terbuku dan yang terpendam terlalu lama.
Jangan pendam, jujurlah pada diri sendiri, luahkan dengan cara dan saluran yang betul.
Fikir semula, mengapa kita perlu mengambil jalan untuk bertengkar. Fikirkan cara yang lebih hikmah agar pertengkaran boleh ditukar ke meja rundingan. Nilai semula segala perbezaan agar ia dapat dihormati dan diraikan. Bukan bertengkar.
Ambillah langkah tenang untuk sama-sama duduk berbincang. Bukan terus mengikut emosi kerana emosi dipengaruhi nafsu. Kerana nafsu boleh mendatangkan musibah yang tidak diundang. Sikap rasional dan professional yang kita amalkan dalam mengawal situasi sekaligus mewujudkan suasana rumahtangga yang matang dan harmoni.
Sabda rasulullah s.a.w:
“Takkan menyesal orang yang istikharah. Takkan rugi orang yang bermusyawarah.”
(HR Ath Thabrani)
Hidup ini harus kita nikmati,
Hidup ini harus kita hargai,
Hidup ini harus kita syukuri,
bukan sekadar jalani…
Moga bermanfaat.