);

Sedar-sedar sahaja sudah ada ruam di bahagian-bahagian tertentu pada badan anak kita. Kadang-kadang kita sendiri pun tidak perasan yang badan anak kita telah naik ruam. Ruam atau rashes memang biasanya berlaku kepada bayi atau kanak-kanak di Asia atau di tempat-tempat yang beriklim panas dan lembab seperti di Malaysia.

Ada sahaja ruam di leher, di bahagian lipatan lengan, di celah kaki (kelangkang), di celah-celah jari, di celah ketiak, di bahagian anggota badan yang terkena pakaian yang ketat, di belakang badan, di lipatan kulit dan di kepala jika anak-anak kerap dipakaikan topi.

PUNCA RUAM

Hal ini kerana kepanasan suhu pada cuaca yang mengakibatkan anak-anak cepat berpeluh. Berpeluh adalah proses yang normal pada tubuh badan kita ketika panas. Ia sebagai suatu tindak balas dalam sistem tubuh badan manusia yang berfungsi untuk menyejukkan badan.

Namun, apabila anak-anak ini berpeluh terlalu banyak, ia boleh menyebabkan pori-pori kulit tersumbat, manakala peluh yang banyak tidak dapat keluar dengan baik boleh berlakulah ruam pada badan anak atau pada bahagian-bahagian tertentu pada badan anak. Ruam ini yang dikenali sebagai ‘Ruam Panas’.

Walapun begitu, ibubapa tidak perlulah panik atau risau, ruam panas memang biasa berlaku pada bayi dan anak-anak kecil kerana kelenjar peluh mereka masih diperingkat belum matang sepenuhnya.

Ruam panas adalah petanda yang anak-anak dalam keadaan tidak selesa akibat kepanasan, kulit nya melekit dan lembap, jadi ibubapa perlu mengambil langkah yang cepat dan efektif untuk menyejukkan badan anak-anak dan untuk menyejukkan suasana agar anak tidak panas. Ada juga ruam disebabkan oleh kulit yang terlalu kering kerana kekurangan lembapan untuk komposisi PH kulit yang normal.

Selain ruam yang disebabkan oleh faktor kepanasan, ruam juga boleh terjadi akibat daripada jangkitan virus, kulat dan bakteria. Antara yang tidak boleh dipandang ringan seperti ruam yang timbul disebabkan oleh demam campak, demam denggi, HFMD, ruam disebabkan oleh alergi, ruam yang memberi masalah kulit yang kronik seperti jerawat, eczema dan lain-lain lagi.

Harus diingat, ruam juga boleh menjadi satu petanda (sign) untuk penyakit–penyakit yang lebih serius seperti penyakit buah pinggang, penyakit hati malah ruam boleh menjadi petanda pada sesetengah jenis-jenis kanser.

Mungkin ibubapa boleh merawat sendiri di rumah bagi ‘ruam biasa’ atau ‘ruam panas’ untuk anak-anak, tetapi bagi ruam-ruam yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala yang teruk, perlulah berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat, rawatan klinikal serta ubat-ubatan.

Berikut adalah beberapa petua yang diamalkan untuk rawatan di rumah bagi menghilangkan ‘ruam panas’ atau ‘ruam biasa’ pada anak-anak:

  • Duduk di dalam rumah atau ruang yang tidak panas.

Berkipas atau menggunakan penyaman udara. Hal ini supaya anak-anak tidak kepanasan kerana kepanasan boleh menyumbang kepada perpeluhan. Perpeluhan boleh mengakibatkan bahagian badan anak berkuwap dan boleh berlaku iritasi dan ruam.

Pastikan rumah, bilik atau ruang tempat untuk anak-anak duduk dan bermain adalah dalam keadaan bersih, teduh, berangin dan dalam suasana yang sejuk dan selesa.

  • Mengenakan pakaian yang sesuai, nipis dan longgar.

Pakaian anak-anak juga boleh menjadi faktor anak-anak panas, berpeluh dan kerimasan. Bila rimas dek kerana panas dan berpeluh, mulalah mereka tergaru-garu dengan kuku-kuku mereka yang boleh menyumbang kepada ruam cepat merebak.

Elakkan pakaian yang bukan daripada jenis fabrik kapas serta elak pakaian yang beropol-ropol. Ia boleh mengundang panas dan kegatalan pada kulit anak yang halus mulus. Sebaik-baiknya, pakaikan yang longgar, nipis, dan yang serap peluh. Sepertimana yang biasa disyorkan daripada fabrik cotton (kapas)

Salinlah pakaian anak bila perlu, terutamanya yang dipakai terlalu lama atau lembap sebab berpeluh. Terutamanya anak-anak yang memakai pampers. Jangan biarkan lama. Urine anak yang tersimpan lama di dalam pampers itu sendiri pun boleh menyebabkan jangkitan pada kulit anak dan boleh menyebabkan nappy rash (raum lampin).

CARA HILANGKAN RUAM

  • Menggunakan krim atau losyen.

Ada segelintir ibubapa yang meminta nasihat daripada ahli farmasi untuk menyapukan krim ruam pada anak-anak dan ada sesetengahnya pula lebih gemar menggunakan losyen kelamin.

Terdapat banyak krim ruam di pasaran farmasi antaranya ialah Himalaya Diaper Rash Cream, Pureen Nappy Rash Cream, Anakku Nappy Cream, Drapolene Cream, Sebamed Baby Diaper Rash Cream, Buds Super Soothing Nappy Rash Rescue Cream dan banyak lagi.

Namun, sebelum mencuba, pastikan ibubapa mendapatkan nasihat daripada ahli yang pakar.

  • Menyapukan bedak sejuk.

Alternatif lain selain menggunakan losyen kelamin atau krim ruam, secara tradisionalnya, mak-mak kita dahulu mengamalkan menyapu bedak sejuk kepada anak-anak kecil mereka pada bahagian yang terkena ruam agar dapat berasa dingin dan selesa.

Ia juga elok untuk kulit, kerana bedak sejuk adalah diperbuat daripada sumber semulajadi iaitu daripada sumber beras.

  • Menggunakan tepung ubi kayu.

Selain bedak sejuk, ada juga pengalaman sesetengah ibubapa yang menyapukan tepung ubi kayu pada anak-anak yang terkena ruam panas. Hal ini kerana sifat tepung itu sendiri yang lembut dan halus. Boleh meredakan keradangan pada kulit.