Nak kata cerewet tentang bab makan, anak-anak ini tidaklah terlalu cerewet. Nak kata memilih tidaklah pula terlalu memilih. Jika difikir-fikirkan semula tentang menu makanan anak-anak kita, sebenarnya tidaklah serumit mana.
Kuncinya asalkan kita tahu apa sahaja yang diminati, itu sahajalah yang mereka akan makan, tidak yang lain-lain. Cuma yang nampak sukar apabila mereka tidak makan apa yang kita penat-penat sudah masak. Disitu mungkin perlu dilihat sejauhmana kita perlu kreatif memikirkan cara bagaimana mereka boleh makan makanan yang telah kita masak.
Kebanyakkannya, anak-anak gemar makan makanan yang mereka sukai dan minati sahaja. Itulah yang kerap diulang-ulang. Rata-rata para ibubapa bertungkus-lumus memasak di dapur dengan harapan yang menggunung supaya anak-anak dapat makan yang sedap-sedap dan sihat hasil daripada air tangan seorang ibu.
Ada masanya pula ibubapa membeli bermacam aneka juadah, tetapi akhirnya anak-anak meminta makanan yang biasa-biasa mereka makan kerana itu sahaja yang mereka minati. Anak-anak hanya makan apa yang biasa dan yang mereka gemari sahaja.
Apabila disuruh mencuba, anak-anak enggan mencuba sesuatu makanan yang ‘dirasakan’ baru atau berlainan daripada kebiasaannya. Pelbagai alasan lucu yang diharap dapat memancing hati si ibu seperti ‘takut tekak tidak boleh telan’, ‘takut pahit’, ‘takut termuntah’, ‘takut tak sedap’. Bijak sungguh anak-anak kita mencipta alasan!
Kebiasaannya, perkara yang menggusarkan hati ibu bapa apabila makanan yang dimakan oleh anak-anak tidak mempunyai nutrisi yang mencukupi dari segi keperluan tumbesaran tubuh badan dan perkembangan otak.
Apatah lagi makanan yang tidak menyihatkan. Anak-anak lebih gemar kepada makanan dan minuman ringan seperti gula-gula, coklat, junk food, fast food, aiskrim, minuman cordial, air berkarbonat dan lain-lain yang merosakkan. Tabiat pemakanan sebegini harus di cegah dan dikawal lebih awal, agar tidak mengudang penyakit-penyakit kronik di usia yang terlalu muda.
Antara rintihan dan keluhan ibubapa yang kerap di kongsikan dalam kalangan ibubapa sendiri adalah seperti:
- Anak-anak tidak mahu makan sayur-sayuran dan buah-buahan
- Anak-anak asyik minta dan makan makanan yang sama sahaja setiap hari.
- Anak-anak makan dalam kuantiti yang terlalu sedikit
- Anak-anak menolak makanan yang berlainan dan menolak makanan yang baru.
- Anak-anak sukar hendak minum air masak dalam kuantiti yang cukup.
- Anak-anak suka makan makanan yang terlalu manis.
- Anak-anak kurang selera makan.
- Anak-anak lebih gemar makan makanan ringan dan snek yang tidak sihat.
- Anak-anak lebih banyak minum sahaja tidak mahu makan.
Begitu banyaknya keluhan ibubapa tentang tahap selera makan anak-anak mereka terhadap makanan seimbang. Demikian, antara kaedah meningkatkan selera makan anak-anak yang boleh dijadikan panduan:
- Perkenalkan kepada anak-anak makanan yang sihat dengan lebih awal.
Ajari kepada anak-anak makanan jenis tenusu, bijirin, ubi, sayur-sayuran dan buah-buahan semasa diperingkat lebih awal lagi iaitu selepas 6 bulan menyusu penuh.
Ibu bapa boleh merujuk kepada panduan penyediaan makanan kepada anak-anak di peringkat umur bayi selepas 6 bulan. Menurut doktor kanak-kanak, makanan yang hendak diperkenalkan kepada anak-anak, biarlah rasanya yang besederhana sahaja. Hal ini bagi mengelakkan mereka menjadi cerewet terhadap makanan sejak dari kecil.
- Kenalpasti Corak Pemakanan anak-anak
Tidak semua anak-anak suka kepada makanan yang berjenis seperti berair, bubur nasi, makanan yang dilenyek dan yang lembik-lembik. Ada yang suka dari jenis seperti cookies atau lembut seperti roti.
Jadi, kenalpasti dengan lebih awal corak atau bentuk pemakanan anak-anak agar lebih senang untuk meningkatkan selera makannya dan menjadikan makanan tersebut kepada bentuk yang lebih sihat.
- Melakukan inovasi dan kreatif dalam penyediaan makanan.
Lakukan inovasi bermaksud bukanlah menukar atau mencipta resipi baru sehingga perlu atau terpaksa menjadi hebat seperti master chef, cukup sekadar melakukan sedikit sentuhan kreativiti agar ia nampak terinovasi.
Banyak buku-buku panduan yang biasa kita dengar sebagai Bento untuk anak-anak. Iaitu makanan yang berupa bentuk-bentuk yang comel bagi menarik perhatian mereka untuk makan.
- Lakukan aktiviti sambil menyuap makanan
Kita pernah melihat segelintir ibubapa yang menyuap anak-anak mereka semasa anak-anak mereka sedang khusyuk bermain. Kadang-kadang kelekaan anak-anak yang sedang bermain boleh membantu anak-anak ini menghabiskan makanan.
- Tetapkan Jadual makan, tidak beri pilihan
Ada juga segelintir ibubapa yang tegas dan disiplin dalam menentukan susunatur pemakanan anak-anak iaitu dengan membuat jadual pemakanan untuk mereka. Hal ini supaya mereka menjadi biasa dan menurut sahaja apa yang telah ditetapkan.
Namun amalan ini harus dilakukan pada peringkat yang lebih awal lagi, agar anak-anak tidak mogok lapar jika dilakukan semasa mereka sudah pandai memilih makanan.
- Berikan supplemen secara terkawal
Ada juga doctor menyarankan supaya memberi supplemen secara terkawal. Biasanya mereka menggalakkan pengambilan Vitamin C untuk anak-anak. Hal ini bagi menambah selera makan dan sebagai bantuan alternatif dalam memberi keseimbangan nutrisi dalam tubuh.
- Amalkan petua-petua orang lama.
Bertanya dan minta nasihat daripada ibubapa kita (datuk nenek mereka) tentang pegalaman dan amalan petua orang dahulu sehingga mereka berjaya mendidik kita untuk makan makanan yang sihat contohnya sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.