);

Anak adalah anugerah Allah SWT kepada semua insan yang dikehendakiNya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk memastikan yang terbaik untuk anak mereka.

Namun, lumrahnya anak sebagai manusia biasa juga tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Oleh yang demikian, ibu bapa harus tahu cara yang terbaik untuk menegur anak supaya teguran itu akan dijadikan peringatan bukannya dianggap sebagai bebelan kosong.

CARA TEGUR ANAK

Di sini, kami di ikeluarga ingin mengkongsikan 6 cara untuk menegur anak apabila mereka melakukan kesilapan. Antaranya ialah:-

Teguran Bukan Di Hadapan Orang Ramai
Teguran kepada anak bukanlah di hadapan orang ramai. Kemungkinan Ibu bapa boleh menegur anak ketika di bilik nya, di rumah bukan di hadapan orang yang ramai. Ini bertujuan untuk menjaga air mukanya.

Mulakan Dengan Pertanyaan Bukan Penyataan
Hakikatnya yang harus ibu bapa ketahui, anak sebenarnya lebih suka mendengar teguran yang lebih sopan dan berhemah dari ibu bapa daripada teguran yang berbentuk arahan atau gerkahan. Contohnya, “abang kenapa sekarang baru balik ni, pergi mandi cepat!! “Gunakan bahasa yang sopan untuk memberi sentuhan di hati anak. Percayalah dengan kelembutan hati anak akan lebih tersentuh.

Dengar Keluhan Dan Penjelasan Anak Terlebih Dahulu
Beri peluang kepada anak untuk menceritakan atau menjelaskan apa yang berlaku terlebih dahulu. Jadilah ibu bapa yang setia untuk mendengar keluhannya.

Jadi bila masa yang sesuai untuk ibu bapa bertanya? apabila anak sudah berhenti daripada menjelaskan atau apabila anak sudah mula bertanya apa pendapat kita sebagai ibu bapanya. Percayalah waktu ini adalah waktu terbaik untuk anda memberikan pendapat.

Ingatkan Anak Kebaikan Dan Keburukan Daripada Apa Yang Dilakukannya
Selalu ingatkan anak kebaikan dan keburukan daripada apa yang dilakukannya. Apabila anak melakukan kesalahan, sebagai ibu bapa janganlah kita terus memarahinya sebaliknya ingatkan dia apa akibat daripada perlakuan yang telah dia lakukan itu. Dari itu, anak akan lebih terbuka untuk berfikir.

Biarkan Anak Membuat Pilihan Yang Terbaik Buatnya
Jangan risau untuk memberi peluang kepada anak untuk membuat keputusannya sendiri. Proses ini adalah untuk melatih anak untuk lebih matang. Biarkan anak membuat keputusan yang terbaik untuknya. Kerana apabila keputusan yang dilakukannya itu menemui kegagalan.

Untuk masa akan datang anak itu akan lebih berhati-hati apabila membuat keputusan. Seterusnya anak tidak akan menyalahkan ibu bapa untuk sebarang masalah yang berlaku.

Peluk Dan Pujian
Tahukah anda dengan pelukan dan pujian sebenarnya dapat mengambarkan perasaan sayang anda kepada seseorang? Ingatlah, bagaimana marahnya kita dengan kesalahan dan kelakukan anak, perbualan itu mesti diakhiri dengan pelukan dan pujian.

Ini untuk merangsang semula anak kita supaya mereka tetap merasakan bahawa ibu bapa nya masih menyayanginya. Bimbing mereka untuk terus melakukan kebaikan. InsyaAllah anak pasti akan lakukan yang terbaik untuk anda dan dirinya.

Secara kesimpulannya, yakinlah setiap usaha kita untuk mendidik anak, apabila ianya dimulai dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah SWT, Walaupun berakhir dengan kegagalan tetapi pahalanya tetap kita terima. Meskipun bukan di dunia tapi di akhirat sana pastinya.

Semoga anak kita semua menjadi anak yang soleh solehah, penyejuk mata ayah bonda.. insyaAllah
Semoga bermanfaat!