Anak kecil dan susu botol adalah amat sinonim. Mereka umpama irama dan lagu seperti kawan yang rapat. Mana tidaknya, sebelum tidur, minta susu botol.
Celik mata sahaja (bangun tidur), susu botol jugalah yang diminta. Waima semasa tidur sekalipun, mereka boleh terbangun merengek-rengek, semata-mata kerana hendak minum susu botol.
Semua ibubapa mungkin pernah menghadapi situasi yang sama iaitu apabila anak-anak sedang lena diulik mimpi, ada ketika kita dapat melihat reaksi gaya mulut mereka seperti sedang menghisap susu botol.
Semasa mereka minum susu juga boleh tertidur bersama susu botol, mereka mampu minum sehingga habis dan minum sambil lena! Hebat anak-anak kita ini kan.
Memerhatikan mereka yang sedang minum susu sambil berbaring dan menikmati air susu dengan penuh khayal dan khusyuk pada hakikatnya adalah cukup membuatkan kita rasa bahagia. Apatah lagi jika anak-anak ini menggonggong botol susu di mulut mereka, boleh berderai kita menahan ketawa, tercuit rasa lucu dan tersenyum sendirian.
Keletah, kerenah dan ragaman anak-anak bersama ‘rakan karib’ nya itu sebenarnya memberi memori terindah buat kita. Nikmati dan hargailah proses itu sebelum masa menganjak usia.
Secara psikologi, susu botol memberi makna sentimental buat mereka, makna kekenyangan, sumber ketenangan dan rasa lega. Kalau seharian tidak hisap susu botol, pasti tidak keruan jadinya. Ada sahaja yang tidak kena. Mulalah si comel meragam seharian, itu tidak kena, ini tidak kena. Sebegitu rapatnya mereka dengan susu botol, memang sukar untuk dipisahkan.
Namun, jangan berhenti daripada minum susu walaupun berhasrat untuk memberhentikan anak kita daripada susu botol.
Kepentingan Susu
Susu adalah makanan yang sangat penting yang ditekankan oleh ibu bapa semasa anak-anak masih berusia bayi sehingga kanak-kanak. Ia adalah makanan lengkap yang mempunyai semua nutrisi untuk tumbesaran tubuh yang optimum dan pertumbuhan tulang yang sihat. Pengambilan susu juga merupakan salah satu daripada 14 kunci utama dalam Panduan Pemakanan Malaysia 2012.
Namun, pengambilan susu semakin berkurangan apabila anak-anak kita ini beranjak ke fasa persekolahan, malah ada juga yang berhenti minum susu seawal usia 4 tahun. Senario ini berlaku kerana gara-gara ingin mengambil alih perhatian anak-anak dengan menggantikan minuman lain seperti jus buah-buahan, cordial dan minuman ringan agar mereka lupa dan dapat berhenti daripada minum susu botol. Budaya seperti ini amat berbeza berbanding di negara-negara Eropan dan Arab, pengambilan susu adalah menu utama di dalam keluarga daripada peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.
Melalui kajian oleh Royal Friesland Campina N.V dari Mei 2010 sehingga Oktober 2011, satu daripada 10 kanak-kanak dikawasan bandar di Malaysia menunjukkan tanda-tanda kekurangan nutrisi berdasarkan nisbah berat badan dan umur (BMI). Menurut kajian juga, 50% kanak-kanak dibawah umur 12 tahun di Malaysia tidak mengambil kalsium yang mencukupi.
Berhenti susu botol tidak bermakna menghentikan pengambilan minum susu. Proses minum susu harus diteruskan kerana tubuh anak yang sedang membesar memang amat memerlukan susu untuk tumbesaran tubuh dan kekuatan tulang.
Berikut merupakan tips buat ibubapa bagi menghentikan susu botol tetapi tetap meneruskan pengambilan minum susu bagi kanak-kanak.
Tips untuk berhenti minum susu botol.
- Didik anak dengan lebih awal.
Kita sendiri sudah sedia maklum, diakhir cerita ‘anak kita dan rakan karibnya itu (susu botol)’ mereka pasti akan terpisah jua, maka didiklah dengan lebih awal. Agar mereka lebih biasa dan tidak terlalu obsess dengan susu botol.
Merujuk kepada American Academy of Pediatrics yang di petik daripada The Asian Parents of Malaysia mengesyorkan, umur paling ideal untuk pengasingan susu botol kepada anak-anak ialah seawal usia setahun.
- Lakukan secara berperingkat-peringkat.
Tetapkan hari-hari tertentu atau tetapkan waktu-waktu tertentu dalam sehari iaitu waktu bila anak-anak akan minum susu dengan cawan. Berikan sedikit terma dan syarat, contohnya setiap pagi sebelum dapat minum susu botol perlu mulakan minum susu dengan cawan sehingga habis terlebih dahulu atau minum susu dengan cawan setiap hujung minggu.
Lakukan secara berperingkat-peringkat ini perlulah dengan disiplin yang tinggi agar anak hormat dengan aturan yang ditetapkan. Lama-kelamaan mereka akan terbiasa.
- Berbincang dengan anak
Ambil masa dan ruang untuk duduk dengan anak, kemudian berbincanglah dengan mereka secara baik. Jelaskan kepada mereka bahawa mereka semakin membesar dan seharusnya susu botol perlu digantikan dengan minum susu dalam cawan/gelas. Gunakan kaedah psikologi apabila berbincang dengan mereka contohnya berikan ikon contoh.
Elakkan daripada memarahi, memberi arahan dan memberi amaran. Kanak-kanak juga mempunyai maruah dan dunia ego mereka yang tersendiri.
- Ganti cawan/gelas yang diminati.
Berpisah dengan susu botol merupakan satu pengorbanan yang besar bagi mereka, bukan senang untuk anak-anak melepaskan susu botolnya itu. Jadi, raikan pengorbanan mereka, belikan dan gantikan cawan/gelas kegemaran mereka. Sebagai tanda semangat dan sokongan kita kepada mereka, bawa mereka ke kedai untuk memilih sendiri cawan/gelas yang mereka minati, supaya ‘mission’ tersebut dilakukan dengan keterujaan, komitmen dan kesungguhan.
Gantikan cawan/gelas yang menarik, ada gambar kartun atau adiwira dan yang berwarna-warni, hal ini bagi menarik perhatian mereka.
- Istiqamah dan tabahkan hati.
Ibubapa harus terus istiqamah membantu anak –anak melalui proses berhenti susu botol ini. Istiqamah walaupun usahanya sedikit. Lama-kelamaan anak-anak akan dapat menerima hakikat bahawa mereka semakin hari semakin membesar dan tidak sesuai lagi minum susu botol.
Sekiranya mereka meragam dan merengek-rengek, bersabar dan tabahkan hati. Alihkan perhatian mereka kepada perkara yang lebih menyeronokkan agar dapat mereka melupai tentang susu botol tersebut. Elakkan memarahi, memberi sindiran dan membanding-banding, hal ini dibimbangi memberi tekanan emosi pula kepada si anak. Peluk dan pujuklah mereka dengan baik.
- Berikan Pujian dan Penghargaan
Puji lah mereka sebagai tanda penghargaan apabila mereka berjaya berhenti susu botol untuk beberapa sesi waktu yang ditetapkan oleh kita.
Kebiasaannya, ibu bapa ada mengajarakan anak-anak untuk ‘big clap’ bagi sesuatu perkara yang mengujakan mereka. Jadi, berikan mereka big clap untuk diri mereka sendiri.
- Beri hadiah atau
Sekiranya anda mampu, ada juga para ibubapa memberikan reward atau hadiah kepada anak-anak ini jika mereka berjaya berhenti minum susu botol dan patuh pada syarat-syarat yang ditetapkan semasa dalam proses untuk berhenti. Hadiah pula tidak perlulah yang terlalu mahal, cukup sekadar untuk meraikan usaha anak-anak kita dan dapat menggembirakan mereka.