);

Ayam masak merah adalah antara menu evergreen yang sentiasa mendapat tempat dihati penggemar makanan. Terdapat pelbagai versi resepi ayam masak merah bergantung individu tetapi yang penting semuanya sedap dimakan. Ayam masak merah biasanya dimakan bersama nasi putih, nasi tomato ataupun nasi minyak.

Jika anda pergi majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, rumah terbuka ataupun kenduri, ayam masak merah adalah antara menu tetap untuk setiap majlis tersebut. Ini menunjukkan bahawa ayam masak merah adalah antara menu kegemaran rakyat Malaysia.

Ayam Masak Merah Sedap

Memasak ayam masak merah sebenarnya tidak sesukar yang dibayangkan. Dengan berbekalkan resepi yang baik dan sedikit pengetahuan untuk memasak, hampir setiap orang mampu untuk menyediakan hidangan ayam masak merah.

Bahan-bahan yang digunakan untuk memasak ayam masak merah terdiri daripada bahan utama, bahan hirisan serta bahan untuk tumisan.

Bahan-bahan utama yang diperlukan untuk menyediakan ayam masak merah yang lazat ialah:

 

  • Seekor ayam (jika mahukan sedikit, boleh gunakan sebahagian sahaja daripada ayam)
  • 3 biji tomato yang dipotong empat.
  • 2 sudu besar sos cili.
  • 2 kuntum bunga lawang.
  • 60ml santan.
  • 250ml air.
  • Gula secukup rasa.
  • Garam secukup rasa dan
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis.

Bahan-bahan untuk hirisan pula ialah lima ulas bawang putih, tiga ulas bawang besar dan 2cm halia yang dihiris nipis. Manakala, untuk bahan menumis, sebanyak lima ulas bawang merah, dua puluh tangkai cili kering (direbus dan dikisar), empat biji bawang besar dan 2cm halia.

Pertama sekali, ayam tersebut dilumurkan dengan kunyit dan garam dan digoreng hingga separuh masak. Setelah itu, minyak dipanaskan dan bahan-bahan hirisan tadi ditumiskan sehingga layu dan naik baunya. Setelah itu, bahan-bahan tumisan dimasukkan dan digaul sehingga rata. Kemudian, sos cili dan cili kering yang dikisar tadi dimasukkan dan ditumis sehingga pecah minyak.

Setelah itu, ayam yang telah digoreng tadi dimasukkan dan dikacau rata. Air dimasukkan mengikut kesesuaian dan santan dimasukkan untuk memekatkan kuah. Kemudian, tomato yang telah dipotong dimasukkan, bersama gula dan garam mengikut selera masing-masing. Ayam dimasak sehingga pecah minyak dan apabila sudah cukup sebati dan warnanya cukup cantik, api boleh dimatikan.

Kemudian, hidangkan di dalam mangkuk yang sesuai dan taburkan dengan sedikit daun saderi / daun sup untuk menambahkan aroma dan juga memberikan kontra warna yang cantik atas hidangan yang disediakan.

Itulah resepi ayam masak merah simple tetapi sedap untuk menyediakan ayam masak merah. Jika anda baru nak belajar memasak ayam masak merah untuk pertama kali, ini adalah resepi yang sesuai untuk anda.